Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun

Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun
Bukti Resolusi yang telah dihantar secara serahan tangan kepada Penguasa Jabatan Tanah dan Servei Kapit.

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT
SELEPAS DIALOG BERSAMA JABATAN HUTAN SARAWAK

Friday, August 27, 2010

POLISI BN MEMISKINKAN RAKYAT BELAGA?

POLISI BN MEMISKINKAN RAKYAT BELAGA?
Polisi Barisan Nasional (BN) terutamanya untuk “memajukan” ekonomi rakyat Sarawak adalah polisi yang memiskinkan rakyat, lebih-lebih lagi rakyat di pedalaman seperti Belaga dan hanya memperkayakan Taib sekeluarga dan kroni-kroni sahaja. Paling tidakpun, kemajuan yang dibawa Barisan Nasional (BN) di Belaga adalah “kemajuan ke belakang”, atau. “reverse development”.

Di Sarawak, poilisi Taib/BN adalah untuk membuka seluas ladang sawit dan tanaman pokok akasia sehingga melebihi 1 juta hektar tanah dan juga 12 empangan baru. Rekod juga menunjukkan Taib/BN ingin membina 52 empangan di seluruh Sarawak. Nampak untuk memajukan Negeri Sarawak – tapi soalan paling penting adalah UNTUK SIAPA? Rakyat atau BN/KRONI?

Kesan langsung polisi ini adalah Tanah NCR rakyat akan semakin kecil dan boleh habis kerana Geran diberi oleh Taib/BN kepada Syarikat perladangan. Rakyat diusir dan di”pagar” dari memasuki tanah NCR sendiri. Saya sendiri bersama penduduk Long Jawe’ pernah alami di Tanah NCR Long Jawe ulu Balui. Empangan yang banyak dibina pula akan menenggelamkan tanah NCR penduduk Sarawak amnya dan Belaga khasnya (Bakun dan Murum). Ada juga berita Linau dan Belaga Dam turut akan dibina oleh BN.

Ada segelintir suara-suara sumbang menghalang kita bercakap benar atas nama “jangan hanya cakap mengenai keburukan orang”. Kita tidak cakap tentang keburukan “orang” tetapi keburukan polisi oleh “orang” itu dan konco-konconya. Kalau tidak didedah manakan Nampak busuknya. Jadi tidak boleh tidak penindasan dan politik menekan WAJIB didedahkan dan dipercakapkan supaya rakyat tahu dan tidak terus TERTIPU dan DITINDAS!

DASAR PERLADANGAN KELAPA SAWIT
Kalau dilihat kepada jumlah penanaman kelapa sawit di Sarawak, peratusan terbesar adalah dimiliki oleh syarikat – syarikat perladangan yang kebanyakannya adalah kroni Taib/BN. Jumlah tanah NCR rakyat yang dirampas dari rakyat dan diberikan kepada syarikat-syarikat ini mencapai ratusan ribu hektar. Antara syarikat yang dianugerahkan dengan puluhan ribu bahkan ratusan ribu hektar adalah untuk syarikat seperti Shin Yang, PKTS, Ekran dan lain-lain.

PEMBERIAN GERAN LEBIH MENGUTAMAKAN SYARIKAT DARIPADA RAKYAT
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, negeri harus mengutamakan pemberian geran/gazet tanah NCR untuk anak negeri Sarawak (Natives) atau rakyat asal Belaga. Apa yang terjadi dalam polisi BN, adalah sebaliknya di mana Syarikat diutamakan dan rakyat miskin dikemudiankan.

Lihat sendiri di Asap tanah lot 3 ekar satu keluarga tidak diberi sampai sekarang. Ini satu perbuatan mengkemudiankan rakyat Belaga di Asap. Ratusan ribu tanah NCR milik rakyat diserahkan pula oleh Taib/BN kepada syarikat-syarikat.

DASAR PEMBINAAN EMPANGAN – PUNCA UTAMA KEMISKINAN PENDUDUK BELAGA / ULU BALUI
Kerajaan BN mensasarkan untuk membina 12 empangan di Sarawak. Semua maklumat ini telah disorok oleh kerajaan BN dari pengetahuan rakyat Sarawak sehinggalah rakyat menjumpainya di dalam laman web sebuah syarikat dari Negara China. Kalau BN terus berkuasa, mereka bahkan mensasarkan untuk membina sehingga 52 empangan! Wah Sarawak nak ditenggelamkan?

Dasar dalam pembinaan empangan ini tidak mempedulikan rakyat Belaga. Rakyat Belaga tidak mahu empangan dibina di Belaga seperti Bakun dan telah membuat protes dari awal. Hanya sebahagian sahaja yang terpaksa bersetuju iaitu pemimpin BN dan kroni-kroni mereka. Pemimpin BN adalah tali barut Taib. Rakyat Belaga “dijual” untuk kepentingan dan keuntungan Taib dan konco-konco. Yang penting jawatan dan wang ringgit dipertahankan. Pemimpin masyarakat dan rakyat Belaga diperkuda dan dihina kerana suara mereka tidak didengar dan dipedulikan.

Satu lagi bukti BN tidak peduli pada rakyat Belaga iaitu pembinaan empangan Murum. Hidro Murum juga dibantah. Bantahan ini tidak diendahkan oleh BN. Paling malang, pembinaan Hidro Murum dibina tanpa kelulusan SEIA yang lengkap. Ini diakui sendiri oleh James Masing.

Rakyat Penan Belaga dari Murum telah menghantar memorandum bantahan Empangan Murum di Kuching pada 16.9.2009, tetapi Taib dan Jabu yang berada di pejabat pada masa itu melarikan diri dari pintu belakang pejabat. Penghantar-penghantar Memorandum Bantahan dari Murum itu pula ditangkap polis.

Rakyat pemilik tanah NCR ditangkap, perompak tanah NCR dan pelaksana polisi bina empangan Murum tanpa kebenaran dan laporan EIA yang lengkap dan siap pula dilepaskan.

PENGALAMAN BELAGA AKIBAT POLISI EMPANGAN DAN PERLADANGAN
Umum sedia maklum bahawa sejak awal pembinaan Hidro Bakun, banyak janji-janji yang ditabur kepada rakyat Belaga. Antaranya adalah air bersih percuma, elektrik percuma dan rumah percuma dan lain-lain janji yang ditabur untuk memastikan Hidro Bakun menjadi kenyataan. Bakun kini baru sahaja dikhabarkan selesai dibina walaupun tertangguh beberapa kali sebelum ini. Walaupun pembinaan Hidro Bakun sudah siap, umum sedia maklum bahawa janji-janji yang dibuat oleh kerajaan masih belum siap ditunaikan. Tanyalah dari sebarang penduduk rumah panjang yang ada di Pusat penempatan Semula Asap-Koyan .

Bagi polisi perladangan pula, syarikat-syarikat terus diutamakan berbanding rakyat Belaga. Rumah/pondok milik rakyat Belaga yang ada di sepanjang jalan Bakun – Bintulu ditebang oleh pihak syarikat dan kerajaan BN. Rakyat Belaga terpaksa membawa kes menahan hak tanah NCR mereka ke Mahkamah. Yang tidak mampu membawa kes ke mahkamah terus ditindas dan ditekan oleh syarikat. Malang sekali, kerana ada pulak pemimpin BN yang tidak memperdulikan masalah tanah NCR rakyat dan memihak kepada syarikat dan bahkan dikhabarkan membawa serta “membuka jalan” untuk syarikat masuk dan merampas tanah NCR rakyat. Pemimpin-pemimpin BN Belaga berdiam seribu bahasa dalam mempertahankan hak Tanah NCR penduduk Belaga.

PENGALAMAN JOINT VENTURE (KONSEP BARU) GAGAL DI KONAWIT
Apa kaitannya degnan Belaga? Kalau di tempat lain seperti di Konawit, konsep pembangunan tanah NCR kerajaan BN yang dikenali senagai Konsep Baru dikatakan baik untuk memajukan rakyat. Dalam Konsep Baru ini pembahagian peratusan adalah 60% untuk syarikat. 10% untuk PELITA dan 30% untuk rakyat (sebagai pemilik tanah NCR). Selama Konsep Baru itu berjalan di Konawit lebih lapan tahun, tiada pulangan (30% syer) diterima oleh rakyat sehinggalah rakyat marah dan membuat blockade, barulah syarikat membayar lebih kurang RM500 Ribu kepada pemilik tanah NCR. Sebelum blockade satu sen pun tidak diterima oleh Orang Asal.

Kalau di Kanowit, Dayak Iban dilibatkan, di Belaga, rakyat langsung tidak dilibatkan dengan Konsep Baru ini. Ini bermakna tanah di Belaga seolah-olah Tiada pemilikan oleh orang Asal Belaga. Sekali lagi BN tidak langsung mengiktiraf kepemilikan Tanah NCR oleh rakyat Belaga. Mana suara pemimpin BN Belaga? Kenapa membiarkan tanah NCR rakyat Belaga dirampas dan diberi kepada syarikat-syarikat?

BN MENIPU RAKYAT BELAGA TENTANG PAMPASAN
Apa yang penting di sini adalah rakyat Asap Koyan yang dipindahkan tidak menerima pampasan yang mencukupi berdasarkan kehendak mereka. Rumah yang dijanjikan percuma, kerajaan meminta rakyat Belaga Asap-Koyan membayar harganya RM52 ribu sebuah. Elektrik percuma yang dijanjikan juga adalah satu penipuan kerana rakyat Asap kini membayar bill elektrik. Bahkan sehingga menjcecah jutaan ringgit jumlah kesemuanya.

BN LEBIH MENGUTAMAKAN SYARIKAT KRONI BERBANDING RAKYAT BELAGA
Kroni diberi geran ladang kelapa sawit yang luas sehingga ratusan ribu hektar. Rakyat Asap Koyan hanya diberi 3 ekar sahaja satu keluarga!! Kini ada di kalangan satu keluarga itu sudah bertambah jadi 5 hingga 9 keluarga. Ini lumrah dan hakikat. Mana tanah NCR keluarga-keluarga rakyat Belaga yang baru ini?

PENIPUAN OLEH BN TENTANG KONSEP TANAH ADAT (NCR)
Menurut Kerajaan BN Sarawak, konsep tanah adat adalah temuda yang dibuat sebelum 1/1/1958. Walau bagaimanapun, menurut Adat Dayak bahkan Adat Orang Ulu Belaga, konsep ini adalah termasuk 1. Temuda, 2. Pulau Galau 3. Pemakai Menoa/Daleh/Tana’ Kasu. Contoh : Tanah NCR Kayan Uma Lesong di Hulu Balui dulu – bersempadan dengan Batu Kalo di hilir Sungai Pejawan dan di Long Betelong di sebelah hulu. Kawasan ini meliputi temuda, galau dan pemakai menoa orang Kayan Uma Lesong yang di dalamnya ada sungai, bukit, gunung dan lembah. Kalau menurut Kerajaan BN/Land & Survey, tanah NCR adalah temuda sahaja dan itupun kena buktikan bahawa kamu memilikinya sebelum 1/1/1958. Kalau tidak dapat buktikan, itu tanah kerajaan. Lebih menyedihkan lagi Awang Tangah/BN pernah mengatakan tanah yang tiada geran adalah tanah kerajaan. So tanah NCR penduduk di Belaga yang tiada geran adalah tanah kerajaanlah? Bermakna penduduk Belaga kebanyakannya setinggan?

Walau bagaimanapun, keputusan Kes Tuai Rumah Nor Anak Nyawai dan kes Madeli Salleh yang menang hingga di peringkat Mahkamah Persekutuan telah mengiktiraf konsep adat Orang Ulu Belaga iaitu konsep Tanah NCR sebenar yang termasuk Temuda, Pulau Galau dan Pemakai Menoa. Jika ada pihak yang datang kepada rakyat Belaga mengatakan tanah NCR adalah Temuda sahaja, mereka itu datang BERBOHONG kepada kamu tentang konsep tanah NCR. Mereka ini wajib ditolak kerana tidak menghormati ADAT kita Orang Ulu Belaga atau Dayak Sarawak amnya.

RAKYAT BELAGA DIKETEPIKAN DALAM PROJEK HIDRO BAKUN
Kalau dilihat dari komposisi pekerja di Hidro Bakun, majoriti pekerjanya adalah orang luar dari Daerah Belaga. Pekerja-pekerja yang berasal dari Belaga dibuang kerja atau ditamatkan kontrak kerja mereka. Pekerja asing diutamakan sebagai ganti dan rakyat Belaga pula dikemudiankan atau tidak diambil langsung yang baru.

Lihat juga komposisi pengurusan utama Sarawak Hidro, majoriti atau tiada orang Belaga/Sarawak. Mana konsep 1Malaysianya? Itulah sebab Taib dikhabarkan marah dan membina Hidro Murum kerana Mahathir dan Ting Pheik Khiing mendapat kekayaan dari hasil balak di hulu Empangan Bakun. Umpama gajah sama gajah bertembung, pelanduk mati di tengah-tengah. Mahathir/BN dan Taib/BN berebut kekayaan Belaga dengan nafsu yang membuas, RAKYAT BELAGA “mati” di tengah-tengah. Hak dirampas dan ditekan serta ditipu. Pemimpin BN Belaga diam membisu atau mungkin “tepuk tangan” melihat rakyat Belaga diketepikan.

SYARIKAT MEMPERLEKEHKAN RAKYAT BELAGA
Syarikat yang diberi lesen oleh Taib memang tidak menghormati orang Belaga. Rakyat asal Belaga tidak dibenarkan melalui “kawasan” syarikat di Murum. Bahkan YB BN Liwan Lagang pun tidak terkecuali dihalang memasuki “kawasan” syarikat. Inilah kesan akibat pemberian Tanah NCR orang Belaga oleh Taib atau Awang Tengah kepada syarikat. Kita sebagai rakyat Belaga dibuat seolah-olah “pendatang” di Daerah sendiri.

PEKAN BELAGA KINI KIAN MENJADI PEKAN MATI
“Kematian” pekan Belaga banyak disebabkan oleh pembohongan BN untuk membina jalanraya yang baik dari Bintulu menuju Pekan Belaga. RM 22 juta pernah dijanjikan dalam pilihanraya 2006 dan diulang lagi dalam pilihanraya 2008 untuk menyelesaikan pembinaan jalan Bukit Jayung. Tetapi sampai sekarang jalan itu masih belum siap. Dekat pilihanraya ini, janji sekali lagi ditabur untuk disiapkan. Setiausaha Taib yang baru dilantik dari PRS/Belaga berjanji akan “melihat dan memantau” projek jalan Bukit Jayung ini. Sampai bila Rakyat Belaga hanya menerima “projek air liur” dari kerajaan BN?

Satu lagi adalah, kalau Jalan Bukit Jayung tidak sesuai, mengapa BN tidak mahu nak membina jalan raya dari Jalan Bakun – Bintulu menuju Pekan Belaga?

Apa sudah jadi dengan Lapangan terbang yang pernah dijanjikan di hilir Long Mitik Belaga? Kenapa BN suka hati sahaja menipu rakyat Belaga?

Permintaan – permintaan rakyat Belaga yang dimajukan kepada Setiausaha Negara pada tahun 2003 dan satu lagi kepada Jabu anak Numpang di Miri pada akhir tahun 2008, apa jadi kesudahannya. Dibuang oleh pemimpin BN dalam TONG SAMPAH?

PEMIMPIN BN BELAGA BERSEKONGKOL DENGAN PEROMPAK KEKAYAAN SARAWAK
Laporan demi laporan dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Taib/BN yang mengumpul kekayaan untuk diri dan keluarga. Taib yang sebagai pengerusi BN Sarawak disokong oleh pemimpin dan wakil rakyat dari Belaga dan Hulu Rajang. Mewakili BN di Belaga dan Hulu Rajang bermakna bersekongkol dengan perompak kekayaan Sarawak termasuk kekayaan dari Belaga seperti kayu balak.

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI
Tidak dinafikan selama ini ada sebahagian rakyat Belaga setia mengundi BN. Mereka mengundi BN dengan harapan BN akan mempertahankan hak Tanah NCR mereka dan hak-hak lain sebagai rakyat Malaysia. Tapia pa jadi? Rakyat Belaga tertipu dengan kata-kata seperti “hanya BN dapat memajukan luar Bandar”. Betul? Keluasan tanah NCR Belaga milik Orang Ulu Belaga seluas negeri Pahang dahulu, kini “hilang” ditelan Bakun Hidro. Janji 3 ekar satu pintu dan diberi geran tapi mana geran? Habuk pun tak nampak!!

Paling memilukan ada antara saudara kita orang Penan di Asap tinggal dalam bekas REBAN AYAM. Ya, terpaksa demi membolehkan anak-anak mengejar peluang persekolahan. Mana pemimpin BN? Kenapa tidak sediakan rumah bagi mereka. Mereka ini saya percaya berpendapatan kurang dari RM 500.00. (miskin tegar) dan layak dapat bantuan rumah!

Harapan yang disandarkan pada BN selama ini untuk menjaga hak tanah NCR penduduk Belaga tidak dipedulikan. Rakyat Ulu Balui dipaksa pindah dan penduduk asal Asap Koyan pula, tanah NCR mereka dirampas oleh Taib/BN dan diserah kepada Kompeni perladangan seperti Ekran, Samling dan lain-lain. Inikah yang dikatakan hanya BN dapat memajukan rakyat pedalaman seperti Belaga?? Bagi saya ini bukan memajukan TETAPI “MEMUNDURKAN”.

MUNDUR dari banyak tanah NCR kini hanya 3 ekar atau tiada tanah langsung. MUNDUR dari kaya sumber hutan kini tiada lagi di Asap Koyan. MUNDUR dari tidak pernah hutang menjadi hutang bil air dan bil elektrik berjumlah JUTAAN ringgit. MUNDUR dari segi menikmati hasil bumi Belaga kini dinikmati oleh orang LUAR DAERAH. Dan banyak lagi. Ruang ini tidak cukup untuk mencatatkannya.

Akibat dari polisi yang tidak mendahulukan rakyat Belaga ini, maka ini menyebabkan rakyat Belaga tiada sumber pencarian untuk menampung kehidupan apa lagi menampung keperluan pendidikan. Dengan wujudnya Tabung Amanah Bakun itu sendiri menunjukkan rakyat Belaga tidak menampung anak-anak ke sekolah dan Pusat Pengajian Tinggi. Bukan bermakna saya menentang TAB tetapi polisi BN menyebabkan rakyat Belaga yang bergantung kepada Tanah NCR kini sukar untuk mencari nafkah untuk menghadapi (dalam terpaksa) hidup ala Bandar. Tempat bertani kini sangat terhad. Untuk jangka panjang Rakyat Belaga dijadikan Pengemis di Daerah sendiri kalau BN terus memerintah dengan polisi yang sedia ada.

HARAPAN BARU
Melihat kepada senario di atas, setelah itulah HAKIKAT yang berlaku, sukar sangatkah membuat perubahan? Sebelum kebanyakan kita Orang Ulu berubah dari kepercayaan Bungan kepada Kristian, dan sebagainya, kita tidak pun semakin mundur. Bahkan bertambah baik setelah kita memeluk Kristian baik SIB atau Katolik. Dan ada juga sebahagian memeluk Islam. Perubahan tersebut tidak pun membahayakan kita atau memundurkan kita.

Apa yang memundurkan kita adalah polisi yang MERAMPAS HAK KITA DAN MENEKAN KEBEBASAN SUARA KITA. Dan BN/Taib adalah TULI terhadap permohonan rakyat Belaga!

Justeru perubahan bukanlah membahayakan kita. Kita tidak akan mati kalau menuju perubahan. Yang pasti dalam polisi BN, kita di Belaga, telah hilang kalaupun tidak segala-galanya terutamanya tanah NCR kita.

Dalam Pakatan Rakyat (PR), yang pasti PR Sarawak telahpun membuat persetujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tanah bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah tanah adat kita ini.

Di Belaga kita akan siasat. Terutamanya tanah NCR yang diberi pampasan di Hulu Balui. Turut disiasat adalah tanah NCR penduduk Belaga yang diserah kepada kompani di kawasan hilir Bakun dan kawasan sungai Belaga. Pakatan boleh membuat persefahaman baru dengan syarikat-syarikat agar semua pihak mendapat manfaat.

Kalau di Selangor, kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor memulangkan hak Tanah NCR Orang Asli seperti dalam kes NCR Sagong Tasi. Di Sarawak dan Belaga Khasnya, tidak mustahil ini boleh dilaksanakan di mana hak tanah NCR kita penduduk ASAL Belaga akan dikembalikan.

Tanah adalah kehidupan kita Orang Ulu Belaga. Tanah adalah nyawa bagi kita. Tanah kita yang dirampas umpama orang MENCABUT nyawa kita.

Jangan berlengah lagi sama-sama kita bangkit : KELUAR DARI PENJARA CENGKAMAN BN DAN MENUJU KE ARAH KEMERDEKAAN SEBENAR DALAM PAKATAN RAKYAT. ORANG BELAGA BOLEH MENUJU HARAPAN BARU!!

Thursday, August 19, 2010

Projek Hidro Bakun Membawa Kemajuan "Ke Belakang" Bagi Penduduk Asap/Belaga

Kalau dulu, kita Orang Ulu Kayan, Kenyah, Ukit, Penan dan segelintir Kajang di Hulu Giam Bakun hidup kelihatan "miskin" tetapi sebenarnya kita kaya. Kaya tanah dan sumber makanan percuma dari hutan dan sungai-sungai pemmberian Tuhan.

Dengan "kemajuan" yang dibawa oleh pembalak - pembalak, sumber pendapatan dan makanan kita di Belaga terjejas.

Walaupun jauh di hulu Balui, kita tidak pernah menghadapi masalah mendapatkan makanan. Kalaulah pihak kerajaan membina jaringan jalan raya yang baik hingga ke hulu, kita di Asap tidak akan mengalami "reverse development". Dan kita tidak perlu dipindahkan ke Asap. Pemindahan ini seolah-olah ada agenda lain.

Projek Hidro Bakun yang dikatakan membawa kemajuan - rupa-rupanya membawa kemiskinan bagi kita. Tidak salah kita katakan Dam is the mother of poverty bagi yang sangat bergantung hidup pada tanah.

Tidak ada sumber kewangan di Asap, tetapi kehidupan kita di sana sangat mendesak kita membayar dan mengeluarkan wang untuk mendapatkan tenaga elektrik dan air bersih.

Di kampung di hulu Balui air adalah percuma dan bersih.

Di Asap sumber kewangan adalah terhad. Asal keluar dari rumah di Asap untuk ke kebun atau ladang pasti keluarkan wang. Tidak ada peluang pekerjaan disediakan bagi penduduk untuk menghadapi kehidupan ala bandar yang segalanya memerlukan wang. Tiada wang tidak makan.

Seterusnya pampasan yang seharusnya diberikan pula ditahan. Teruk lagi rumah yang sepatutnya percuma rupanya perlu dibeli dengan harga RM52 ribu.

Masalah ini seolah-olah tidak dapat selesai. Hampir 12 tahun di Asap penduduk semakin hari semakin ramai. Jika peluang pekerjaan tidak disediakan dengan mencukupi di Asap untuk penduduk asal di sini, pengaliran manusia keluar dari Daerah ini tidak dapat dielakkan. Mungkin inilah "agenda" pihak tertentu!

Keadaan ini menyebabkan pihak tertentu mengambil dan merampas tanah yang kononnya dibiarkan tidak produktif (idle).

Kita akan lihat dengan menjelang tibanya pilihanraya negeri ini, macam-macam lagi akan dijanjikan oleh BN untuk orang Asap. Seolah-olah masalah yang bertimbun "dirancang" diselesaikan semata-mata untuk mempertahankan kuasa. Dengan kata lain menggula-gulakan penduduk Belaga untuk mempertahankan kerusi Belaga tetap dimenangi BN.

Satu gula-gula diberi - satu hektar tanah dijadikan ganti. Begitulah umpama atau modes operandi yang dilaksanakan BN untuk terus memperkotak katikkan Orang Belaga.

Orang Belaga akan benar-benar membuat "perhitungan" kali ini. Dalam hati mereka berkata cukuplah kami ditindas dan dimanipulasi oleh pihak BN.

Dengan kesedaran yang mereka sudah tidak dipedulikan oleh BN / Taib, maka tidak hairan Pakatan Rakyat akan jadi pilihan kali ini di Belaga. Dengan akal yang waras, dengan pengalaman penindasan yang dialami, tidak mudah lagi rakyat Belaga akan dipancing dengan pelbagai janji danji dan politik WANG.

Cukuplah atau enough is enough. Kita tidak akan mati kalau memilih Pakatan Rakyat. Mungkin ada cahaya di hujung terowong untuk penyelesaian masalah bertimbun yang dibiarkan BN akan selesai dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang baru di Sarawak nanti.

Itu sahaja lah harapan dan pilihan yang ada bagi penduduk Belaga. Selamat Berubah ke Pakatan Rakyat!!

Tuesday, August 10, 2010

TOLAK DAN HAPUSKAN MEREKA YANG GUNA POLITIK WANG



Bersama - samalah kita menentang pihak-pihak yang menggunakan wang untuk memancing undi. Sama ada nilainya RM20.00, RM30.00, RM50.00. dan sebagainya... calon dan parti yang dikenalpasti menggunakan wang untuk memancing undi wajar dan wajib ditolak!