Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun

Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun
Bukti Resolusi yang telah dihantar secara serahan tangan kepada Penguasa Jabatan Tanah dan Servei Kapit.

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT
SELEPAS DIALOG BERSAMA JABATAN HUTAN SARAWAK

Thursday, December 12, 2013

SELAMAT HARI NATAL PADA 25.12.2013 DAN TAHUN BARU 2014.

Sekali lagi dunia menyambut kehadiran Hari Natal pada 25.12.2013. Sempena kemunculan Natal 2013, Saya bersama keluarga mengucapkan Selamat Hari Natal 2013 kepada semua ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengenali kami. Kami juga mengucapkan selamat Tahun Baru 2014 kepada semua.

Didoakan semua akan dilindungi dalam perjalanan pulang bercuti sempena cuti hujung tahun ini dan diharap semua sampai ke tempat destinasi dan pulang semula ke tempat kerja dengan selamat.

Thursday, July 4, 2013

Tanah Adat (pulau-pulau) milik Orang Ulu diambil oleh Kerajaan

Satu Notis telah dikeluarkan oleh Kerajaan untuk mengambil pulau-pulau di tasik Bakun. Kepada sesiapa yang memiliki pulau - pulau dalam Daleh rumah panjang di Ulu Bakun harus bertindak segera menuntut hak tanah adat bagi pengambilan tanah adat (pulau-pulau) berkenaan oleh kerajaan dalam masa 60 hari tempoh notis dikeluarkan.

Wednesday, January 23, 2013

Polemik Kalimah ALLAH

Isu "ALLAH" muncul lagi. Seolah-olah pihak tertentu menggunakan isu ini untuk "peluru" mereka mendapatkan sokongan dengan membakar semangat kaum tertentu.

Politik tidak seharusnya mendapatkan kekuatan berlandaskan isu-isu sensitif seperti ini. Politik sepatutnya membincangkan polisi-polisi yang boleh dilaksanakan untuk memajukan rakyat. Bukan politik berlandaskan sentimen perasaan kaum-kaum tertentu di Malaysia.

Jika politik berasaskan sentimen sensitif seperti ini diteruskan, maka agak sukar bagi mana-mana kerajaan di Malaysia untuk menyatukan rakyat Malaysia yang sedia ada berbilang kaum dan agama. Justeru itu perbezaan kepercayaan dan bangsa ini tidak boleh dipaksakan kepada bangsa yang lain.

Oleh itu, jika ada unsur-unsur memaksa ini wujud, ia boleh menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat Malaysia.

Satu perkara perlu diingat dalam menangani isu ini adalah bersederhana terhadap satu sama lain. Maksudnya adalah kita tidak boleh bersikap terlalu taksub terhadap apa yang kita rasa milik kita dan luahkannya kepada orang lain. Sesuatu perbezaan kepercayaan, kalau diluahkan kepada pihak lain yang sememangnya sangat berbeza dan bertentangan dengan apa yang kita percaya dan anuti, maka ketegangan akan berlaku.

Keadaan yang berbeza seperti ini tidak boleh dielakkan di dalam Negara. Justeru pihak kerajaan tidak boleh mengambil sikap hanya kelihatan membela pihak tertentu sahaja dan pihak lain diabaikan atau ditekan. Kerajaan sepatutnya neutral berhubung dengan sesuatu yang memang sangat berbeza di kalangan rakyat. Contohnya isu Agama ini iaitu sesuatu yang berkait rapat dengan kepercayaan kita kepada Tuhan sebab ianya adalah peribadi.

Kepercayaan kita rakyat Malaysia akan terus dengan populasinya yang berbilang bangsa dan berbagai agama untuk selama-lamanya. Kepelbagaian kaum dalam Negara kita tidak boleh dicantum menjadi satu kaum sahaja. Satu kaum tidak boleh memaksa sesuatu kepercayaan mahupun larangan terhadap pihak selain bangsa sendiri.

Kita tidak boleh membenarkan pihak extremis bangsa dan agama menguasai rakyat Malaysia yang majoritinya cintakan keamanan.

Justeru kesederhanaan terhadap satu sama lain sangat berguna bagi mengelak polemik kalimah ALLAH ini mengancam perpaduan kaum di Malaysia.  

Tuesday, January 1, 2013

Perayaan Sambutan Hari Krismas 2012 telahpun kita rayakan. Hari Krismas sempat saya raikan di dua tempat rumah panjang di Baleh. Satu di Jugo Melekun, pada 24 dan 25.12.2012. Satu lagi tempat adalah di Rumah Jamba, Sungai Paku pada 25.12.2012. Kedua-dua tempat meraikan Krismas dengan cara dan kaedah masing-masing. Walau bagaimanapun mesej Krismas harus sampai dan difahami iaitu memperingati hari kelahiran Tuhan Yesus sebagai Juruselamat semua umat manusia yang percaya kepadaNya.

Makan-makan tidak terkecuali dalam perayaan ini. Semua penduduk rumah panjang makan-makan di ruai bersama. Saya dan team sangat bersukacita dalam meraikan Krismas bersama rakyat di tempat-tempat ini. Saya sempat juga menyanyikan sebuah lagu rohani Iban berjudul Meruan Ku Ngenang ciptaan Pastor Delly Amera.

Setelah Krismas berlalu kini kita sudahpun berada di tahun baru 2013. Untuk itu saya serta keluarga sekali lagi mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 2013 kepada semua pembaca dan rakyat di Hulu Rajang khususnya dan Malaysia amnya.

Tahun baru ini sudah tentu kita mempunyai azam baru untuk dicapai. Bagi saya dan keluarga, kami ingin menddekatkan diri lebih lagi kepada Tuhan untuk menguatkan iman kami. Ini kerana tahun ini adalah tahun yang sangat penting dan mencabar bagi rakyat Malaysia, dimana rakyat akan pasti memilih untuk menubuhkan kerajaan baru dalam pilihanraya akan datang tidak lama lagi.

Bagi kita umat Kristian, seperti tertulis dalam Alkitab di Imamat 25:10 - "Kamu harus menguduskan tahun kelima puluh, dan memaklumkan kebebasan di negeri itu bagi segenap penduduknya. Itu harus menjadi tahun Yobel bagimu, dan harus masing-masing pulang ke tanah miliknya dan kepada kaumnya." Memang akan genaplah Sarawak akan 50 tahun ini sejak 1963 tahun penubuhan Malaysia.

Kita di Hulu Rajang sangat memerlukan tanah kita dikembalikan seperti Firman Tuhan ini. Tanah yang telah dirampas akan dikembalikan pada atau mulai tahun Yobel ini. Kita umat percaya sangat penting untuk mengerti firman ini. Walau bagaimanapun, kita ada tanggungjawab untuk dilaksanakan untuk mendapatkannya kembali melalui pihak atau kerajaan yang mahu mengembalikan tanah adat kita kepada kita.

Dalam tahun ini kita akan sedaya upaya melaksanakan usaha untuk memperjuangkan hak kita rakyat melalui pengenalan manifesto kawasan Hulu Rajang yang berbunyi:

BERSATU KITA RAKYAT
BERTANGGUNGJAWAB
SELAMATKAN HULU RAJANG
KAWASAN KITA
HAK KITA
KEHIDUPAN KITA

Semua kita rakyat di kawasan ini, perlu ambil tanggungjawab untuk selamatkan Hulu Rajang sebagai kawasan kita terutamanya kita yang penduduk asal di kawasan ini sesuai Firman Tuhan dan adat dan budaya kita. Kemajuan boleh dibawa ke tempat kita, tetapi kemajuan bukanlah alasan untuk hak kita dirampas terutamanya tanah adat kita oleh orang kaya raya dari luar.

Sekiranya kawasan kita akan terus dirampas oleh pihak luar dan bukan lagi hak kita, ini akan menjejaskan kehidupan kita dan generasi anak-cucu kita pada masa depan.

Oleh itu marilah kita sama - sama mengambil tanggungjawab untuk menyelamatkan kawasan kita Hulu Rajang dari terus menerus dikuasai oleh orang kaya dari luar. Kita kena memiliki tekad yang sangat kuat untuk melawan keadaan rampasan tanah adat ini dari terus-menerus berlaku, termasuk melawan orang-orang tertentu dari kalangan bangsa kita sendiri yang menjadi agen orang kaya dari luar untuk merampas hak kita. Perbuatan bekerjasama dengan orang kaya dari luar merampas hak dan tanah adat kita adalah perbuatan pengkhianatan dan mementingkan diri sendiri serta tidak peduli bangsa sendiri yang menjadi mangsa polisi BN. Perbuatan khianat seperti ini harus dihentikan serta merta!

Hanya dengan bersatunya kita rakyat, dapat mengekang keadaan ini dari terus berlaku. Kita rakyat tidak boleh meletakkan tanggungjawab menjaga dan meyelamatkan kawasan kita Hulu Rajang dari rampasan oleh pihak kaya raya dari luar ke atas bahu pemimpin masyarakat kita semata-mata lagi. Apa yang berlaku apabila kita hanya serahkan hal ini kepada pemimpinpemimpin masyarakat kita sebenarnya umpama melepaskan satu tanggungjawab penting. Kita boleh nilai sendiri apa yang telah berlaku ke atas kawasan dan tanah adat kita apabila kita serahkan sahaja tanggungjawab ini kepada pemimpin-pemimpin masyarakat kita selama ini?

Jadi, ini kalilah kita ambil tanggungjawab dan buat perubahan kepada Pakatan Rakyat/PKR kerana, rampasan tanah adat di kawasan kita sebenarnya dilakukan oleh kerajaan sekarang ini, Barisan Nasional. Selagi Barisan Nasional berkuasa, selagi itulah kawasan kita akan terus dirampas dan terlepas dari genggaman kita dan mungkin juga tiada lagi tanah untuk anak cuc kita di masa depan.

Justeru tanggungjawab untuk mengubah undi setiap kita hanya kepada PKR tahun ini akan memberi sumbangan yang sangat besar demi menyelamatkan kawasan kita dari terus dirampas oleh pihak orang kaya raya dari luar. Seluruh majoriti rakyat Malaysia sekarang telah bertekad membuat perubahan. Kita di Hulu Rajang jangan ketinggalan. Kita pernah mengubah undi kita kepada pembangkang. Kenapa tidak ini kali? Perubahan kali ini akan mengubah landskap politik di mana kita akan membentuk kerajaan baru bersama Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional akan menjadi pembangkang.

Selamat tahun baru dan selamat berjuang bersama-sama dalam kesatuan sebagai rakyat yang cintakan kawasan Hulu Rajang sebagai tanah pusaka warisan milik kita yang diberikan Tuhan kepada nenek moyang kita sebagai warisan yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita.

Salam reformasi dan salam perjuangan.