Keputusan Mahkamah dan Berita di TV
Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 31/12/2009 bahawa Majalah Herald boleh menggunakan perkataan “Allah”, Negara Malaysia “kelihatan” kecoh. Inilah terpampang di hampir semua televisyen tempatan yang menayangkan bantahan pihak-pihak tertentu. TV3 kelihatan juara dalam menyiarkan hal ini. Sudah dijangka perkara ini (tayangan TV3) akan berlaku.
Apa yang dapat diperhatikan dalam tayangan berita televisyen tersebut, pihak-pihak terbabit menyatakan mereka mewakili umat Islam tanpa mengira parti politik. Seolah-olah mereka yang berkata demikian “lebih tinggi” jawatan dan kedudukan mereka daripada ketua-ketua parti politik yang disebutkan.
Walau bagaimanapun, parti-parti politik akhirnya mengeluarkan pendirian rasmi masing – masing. Pendirian mereka jauh berbeza dan tidak selari dengan mereka-mereka yang kononnya mewakili semua tanpa mengira parti politik.
Pendirian Rasmi Parti – Parti Politik
Setakat ini, Parti – parti komponen Pakatan Rakyat telah membuat pendirian masing masing. Tetapi tidak ada suara rasmi dari Parti – parti komponen Barisan Nasional(BN) seperti MCA, MIC, PPP, Gerakan, PRS, SPDP, PBB, SUPP, PBS, LDP, dan lain-lain. Abaikan kenyataan ini jika sudah ada. Cuma ahli UMNO sahaja yang bersuara setakat ini. Di manakah letaknya pendirian parti-parti komponen BN yang lain terutamanya parti yang mungkin majoriti pemimpin dan ahlinya adalah orang bukan Islam terutamanya yang menganut agama Kristian/Khatolik. Pandangan peribadi sahaja terdengar iaitu dari Tan Sri Bernard Dompok. Apa pendirian Partinya UPKO? Begitu juga Datuk Sri James Jemut Masing telah mengeluarkan pendapat peribadi.Parti pimpinannya PRS terus diam membisu.
Komponen BN gagal berperanan sepatutnya
Rakyat terkilan kerana parti-parti dalam BN yang beragama Kristian tidak pernah memberi pendapat dan penjelasan kepada kabinet semasa pekeliling “larangan ini” hendak dibuat dahulu. Kalau tidak silap memang sudah ada menteri atau timbalan menteri yang ada dalam kabinet pada masa itu. Kalau mereka berfungsi dengan baik, saya percaya masalah ini tidak akan pernah timbul. Pemimpin atau wakil rakyat Kristian dalam BN seolah-olah telah GAGAL memainkan peranan mereka memberi penerangan dan penjelasan kepada Kabinet. Termasuk menjelaskan Perjanjian Malaysia 1963 – 18/20 Points. Rakyat Malaysia (terutamanya di Malaya atau Semenanjung) secara keseluruhan tidak dimaklumkan tentang hal ini.
Hanya UMNO sahaja bersuara dalam “larangan” penggunaan perkataan “ALLAH” ini. Adakah ini bermakna UMNO adalah BN dan BN adalah UMNO? Kalau begitulah statusnya, kenapa masih bersekutu dengan pihak yang menekan rakyat yang bukan beragama Islam. Tindakan ini umpama menangguk di air keruh.
Dasar Pecah dan Perintah
Melihat kepada masalah yang terjadi ini, kita sedar bahawa memang pihak tertentu selama ini suka menggunakan dasar pecah dan perintah. Kalau parti – parti di Malaysia selama ini “dipecahkan” ikut kaum itu dan kaum ini, dan itu semua tidak boleh diterima lagi oleh rakyat. Rakyat kini sudah matang dan memilih untuk menyokong parti pelbagai kaum.
Menyedari sokongan terhadap parti perkauman semakin tidak diterima, maka isu AGAMA digunakan oleh pihak terdesak. Tetapi rakyat harus faham dan tidak terperangkap dengan taktik pihak terdesak ini. Rakyat tidak ingin dilaga-lagakan oleh pihak terdesak.
Talian hayat berpaut pada kuasa
Mungkin isu agama inilah antara BUTANG terakhir pihak tertentu untuk “menyelamatkan” kuasa politik mereka. Kerana tidak mahu nanti segala pekung di dada akan terbongkar semua. Apapun tindakan yang dibuat untuk menutup pekung di dada, rakyat tetap akan “membukanya” melalui memberi undi dan kemenangan kepada parti yang tidak pernah memerintah Negara.
Rakyat jangan mudah melatah dan terperangkap
Rakyat jangan cepat melatah seperti pihak pihak tertentu yang takut kuasa dan sokongan terhadap mereka semakin hilang. Hanya tunggu masa manjadi penentu matinya parti politik perkauman dan pemecah dan memainkan sentimen sensitif terhadap rakyat.
Rakyat jangan terperangkap dengan dasar PECAH DAN PERINTAH pihak tertentu yang melakukan apa sahaja termasuk “MELAGAKAN” rakyat yang cintakan keamanan, kononya yang majoriti menyokong mereka. Pihak - pihak terdesak ini mengatakan mereka telah dicabar atau “jangan menjolok sarang tebuan” dan sebagainya untuk menakut-nakutkan pihak tertentu. Gertakan dan amaran-amaran seperti ini sangat tidak dialu-alukan dalam Negara yang berbilang kaum dan agama. Seolah – olah “ALLAH” memberi mereka lesen untuk berkata sedemikian.
Usahlah rakyat terpesong dan terpedaya dan terperangkap hanya kerana isu ini. Masalah pokok dalam Negara adalah rasuah, ketidakadilan, kronisme, perkauman dan nepotisme dan tamak haloba oleh segerombolan pemimpin hingga mengaut kekayaan Negara untuk peribadi, keluarga dan suku – sakat sendiri. Rakyat terus dibiarkan papa kedana dan diperbodohkan.
Allah pencipta seluruh alam dan makhluk
Agama adalah urusan setiap individu dengan “Allah”. Saya percaya Tuhan Allah tidak pernah mengkhususkan “namaNya” hanya untuk kumpulan manusia tertentu sahaja. Dan jauh sekali untuk melarang memanggil Dia sebagai Allah oleh manusia untuk mencari ketenangan dan keselamatan di akhirat jika Dialah Allah Yang Esa. Sebab manusia mahu selamat dan dijauhkan dari api neraka jahanam. Lagipun Tuhan Allah adalah pencipta sekalian alam dan makhluk termasuk semua umat manusia.
Punca Masalah
Akhirnya, siapa punca masalah ini, sudah tentu pihak yang menggunakan isu ini untuk mempertahankan kuasa mereka. Ini bermaksud acuan oleh BN telah gagal menyatupadukan rakyat Malaysia. Selagi isu-isu perkauman dan agama menjadi DASAR dalam pentadbiran Negara ini, agak sukar untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Acuan ciptaan BN yang berasaskan kaum nampaknya telah gagal membendung sikap dan benih-benih perpecahan dan saling membenci di antara satu kaum dengan satu kaum lain. Melihat kepada tayangan berita yang ditunjukkan di kaca televisyen, ianya sungguh menakutkan. Tetapi tiada tindakan dibuat ke atas pihak yang terbabit.
Rakyat sudah matang dan bencikan perpecahan dan perkauman
Walau bagaimanapun, saya masih menaruh kepercayaan yang “silent” majoriti rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama membenci pihak – pihak tertentu yang melaga-lagakan rakyat. Kita berharap rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian seperti dijamin dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan tetap terus bersatu menentang kelompok kecil pemimpin yang racisme yang pengikut mereka telah menunjukkan perangai seperti “samseng” atas Malaysia. Sikap seperti ini tidak boleh dibiarkan dan harus dihentikan serta merta. Semoga Malaysia terus melangkah maju aman dan damai bersama parti baru yang tidak berdasarkan kaum.
No comments:
Post a Comment