Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun

Abun Sui Anyit bersama masyarakat Ulu Bakun
Bukti Resolusi yang telah dihantar secara serahan tangan kepada Penguasa Jabatan Tanah dan Servei Kapit.

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT

MENCARI PENYELESAIAN MASALAH TANAH NCR BAGI PENDUDUK LEBU KULIT
SELEPAS DIALOG BERSAMA JABATAN HUTAN SARAWAK

Saturday, September 25, 2010

(Pendapat Peribadi) PAKATAN RAKYAT SUDAH BERSEDIA UNTUK MEMERINTAH NEGERI SARAWAK

Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada empat komponen di Sarawak iaitu Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Democratic Action Party (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Sarawak National Party (SNAP) bersedia untuk memerintah Negeri Sarawak pada penggal akan datang.

Asas kepada kenyataan ini adalah berlandaskan kepada kejayaan negeri-negeri yang ditadbir PR di Selangor, Perak (suatu ketika sebelum dirampas ikut pintu belakang), Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Walaupun pada mulanya hanya Kelantan sahaja negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, kini sudah ada lima negeri. Walaupun tanpa “pengalaman” atau “track record” seperti yang selalu diwar-warkan oleh pihak Barisan Nasional (BN), kenyataan ini sangat meleset sama sekali.

Kita lihat apa yang berlaku di Negeri-Negeri yang ditadbir oleh PR. Semua negeri ini adalah negeri yang tiada rasuah. Tidak ada insiden atau peristiwa di mana sekolah hilang, jalan raya tiada, klinik hilang dan sebagainya seperti yang ditakut-takutkan oleh Barisan Nasional kepada rakyat kalau memilih parti pembangkang untuk menang dan memerintah.

Negeri Pulau Pinang pimpinan YAB Encik Lim Guan Eng dari DAP/PR sebagai contoh, adalah negeri yang paling kurang rasuah di Malaysia. Hasil negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 adalah yang terbaik dalam tempoh 52 tahun kewujudan kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu perolehan sebanyak lebih RM1 Billion (RM1,000,000,000.00). Tidak pernah kerajaan BN memperolehi pendapatan Negeri sebanyak ini walaupun telah memerintah selama lebih 50 tahun! Walaupun disekat peruntukan Kerajaan Pusat oleh Barisan Nasional, Pulau Pinang masih mampu memperolehi hasil lebih RM1 Billion itu. Hasil negeri pula diberikan kepada rakyat seperti pemberian RM100.00 untuk warga tua. Tidak pernah wang bantuan seperti ini diberikan oleh BN.

Di Kedah juga ada rekod lebih baik dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Ustaz Azizan, hasil dari kayu balak bagi kerajaan PR adalah RM80 Juta setahun berbanding UMNO/BN hanya RM30 Juta sahaja. Terdapat perbezaan RM50 Juta. Persoalannya adalah, ke mana lebihan wang itu pergi? Atau jika hanya RM30 juta sahaja hasil UMNO/BN, bermakna BN tidak cekap memerintah berbanding PR.

Di Perak semasa dipegang Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Yang amat Berhormat Datuk Seri Nizar Jamaludin, rakyat miskin tanpa mengira kaum seperti Melayu, Cina, India dan Orang Asli diberikan geran tanah. Dalam masa singkat pemerintahan PR, ribuan geran tanah diberikan kepada rakyat miskin. Yang paling penting untuk maklumat orang Sarawak ialah Tanah Adat Orang Asli diiktiraf dan geran tanah juga diberikan kepada mereka. Mereka (Orang Asli) merasa bahawa lebih 50 tahun telah dipinggirkan oleh Kerajaan BN. Tetapi sejak Pakatan Rakyat memerintah, barulah mereka merasakan Orang Asli diambilberat dan Hak Tanah Adat Orang Asli diiktiraf. Sebagai Contoh, satu Task Force Tanah Adat Orang Asli telah ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal tanah Orang Asli dan membantu kerajaan PR memberi geran dan menggazetkan Tanah Adat untuk Orang Asli.

Di Selangor, pimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri Khalid Ibrahim, negeri yang terkaya di Malaysia, Kerajaan Pakatan Rakyat juga negeri yang berlandaskan keutamaan kepada rakyat. Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri Selangor, perkara pertama yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat adalah pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu untuk seluruh penduduk negeri Selangor. Pelajar di kalangan anak Selangor yang mendapat tawaran masuk ke Universiti diberikan Hadiah berbentuk wang sebanyak RM1,000.00. Anak-anak kelahiran warga Selangor yang baru lahir diberikan akaun simpanan, Warga tua diberikan Wang bantuan dan keluarga anak Selangor yang kematian ahli keluarga diberikan wang bantuan. Semua ini tidak pernah diberikan oleh UMNO/BN walaupun memerintah lebih 50 tahun!

Dengan contoh dan fakta yang negeri-negeri Kerajaan Pakatan Rakyat yang ditadbir seperti di atas walaupun “belum ada pengalaman”, masih juga berjaya mentadbir lebih baik berbanding negeri-negeri yang ditadbir Barisan Nasional. Oleh itu Rakyat Sarawak perlu yakin dengan kesediaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Sarawak selepas pilihan raya Negeri/Umum akan datang.

Kini masa untuk perubahan di negeri Sarawak. Sebagai negeri yang paling kaya dengan sumber alam seperti balak, petroleum, arang batu, tanah adat dan sebagainya. Sarawak sepatutnya menjadi negeri yang termaju. Tetapi apa hakikatnya di bawah pentadbiran Barisan Nasional? Sarawak adalah negeri yang ketiga TERMUNDUR di Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional. Negeri Kaya sumber alam pemberian Tuhan tetapi rakyat antara yang paling miskin di Malaysia. Fakta ini sangat bertentangan dengan kenyataan Kerajaan Barisan Nasional yang mengatakan HANYA BN SAHAJA BOLEH MEMAJUKAN SARAWAK. Betul kah? Kenapa rakyat paling miskin di Malaysia? Kekayaan negeri Sarawak dibolot oleh Taib dan kroni-kroninya. Ini tidak payah diperkatakan lagi. Rakyat sudah tahu dan muak.

Fakta punca kemiskinan tak usahlah dibincangkan di sini kerana rakyat sedia maklum sebahagian walau pun bukan semuanya. Secara ringkas; Kerajaan BN memang sengaja membiarkan rakyat Sarawak terus miskin.

Apa yang perlu difokuskan di sini adalah mengajak rakyat untuk sama-sama membina negeri Sarawak yang kaya dengan kurniaan Tuhan ini agar ditadbir oleh parti dan mereka-mereka yang jujur memperjuangkan hak dan untuk kemakmuran rakyat. Dalam hal ini Barisan Nasional sudah jelas terbukti tidak jujur memajukan dan memakmurkan rakyat negeri Sarawak.

Pakatan Rakyat akan menyediakan orang-orang yang jujur dan takut akan Tuhan untuk mentadbir negeri ini. Tidak terlambat untuk memperbaiki negeri ini dari terus dilahap tanpa had oleh ahli politik Barisan Nasional dan kroni serta syarikat kroni yang hanya memperkayakan diri dan keluarga sendiri. Sebagai contoh paling utama dan jelas adalah Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah mengumpul kekayaan yang tidak wajar dengan gajinya sebagai Ketua Menteri dan Menteri Kewangan dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber yang mencecah sekurang-kurangnya RM3 Billion (RM3 Ribu Juta atau RM3,000,000,000.00). Itu yang baru nampak dalam bentuk hartanah di Kanada, London, Amerika Syarikat dan Australia. Yang disorok dari mata rakyat mungkin jauh lebih banyak jumlahnya. Nilailah sendiri, adakah ini patut dibiarkan oleh rakyat miskin?

Kerajaan Pakatan Rakyat akan menyiasat perkara ini apabila rakyat memberi peluang kepada PR untuk memerintah negeri Sarawak dan menggunakan kekayaan rakyat yang “dicuri” oleh Taib dan konco-konconya ini untuk membangunkan negeri tercinta ini.

Apabila diberikan kuasa untuk memerintah Sarawak, perkara utama yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Baru Pakatan Rakyat adalah antaranya menubuhkan Suruhanjaya Tanah yang akan menyiasat segala masalah tanah (termasuk tanah Adat) dan menyelesaikannya. Pakatan Rakyat mempunyai keinginan politik (political will) untuk menyelesaikan masalah tanah ini.

Berkenaan masalah Tanah Adat ini, Kerajaan Pakatan Rakyat akan mentadbirnya berdasarkan keputusan Mahkamah dalam kes Nor Anak Nyawai dan Madeli Salleh yang diiktiraf oleh Mahkamah Persekutuan (mahkamah paling tinggi di Malaysia), di mana 1. Pemakai Menoa, 2. Pulau dan 3. Temuda diiktiraf sebagai Tanah Adat Anak Negeri atau Pribumi (Natives) di Sarawak. Berbanding Kerajaan Barisan Nasional Sarawak sekarang, yang hanya mengiktiraf Tanah Adat sebagai Temuda sahaja. Itupun Temuda yang dibuka sebelum 1/1/1958. Kalau rakyat tidak dapat membuktikan ini maka itu adalah tanah kerajaan (State Land). Dengan kata lain Kerajaan Barisan Nasional tidak mengiktiraf Pemakai Menoa rakyat! Kalau Barisan Nasional iktiraf Pemakai Menoa, pastikan Jabatan Tanah dan Servei (JTS) (Land and Survey Department) mengukur dan memberi geran (title) untuk SEMPADAN MENOA semua rumah panjang seluruh Sarawak. Bukan sukat setakat Temuda sahaja.

Di Bandar, tanah yang diperjuangkan oleh komponen Pakatan Rakyat, DAP juga akan diiktiraf. Di mana premium yang sangat tinggi dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional akan dikurangkan dan pembaharuan geran secara outomatik akan diamalkan.

Lain-lain perkara yang tidak pernah diambil berat oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini juga akan diambil berat dalam Kerajaan Pakatan Rakyat Sarawak nanti. Secara ringkasnya ; dasar Pakatan Rakyat adalah JUJUR DAN BENAR-BENAR MENGUTAMAKAN RAKYAT.

Hasil – hasil kekayaan bumi kaya pemberian Tuhan ini akan ditadbir dengan jujur agar dapat dinikmati dan memakmurkan rakyat Sarawak terbanyak tanpa mengira kaum dan agama.

Secara ringkas, komitmen Pakatan Rakyat untuk rakyat di Sarawak adalah seperti berikut:-

Memastikan khazanah negeri Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.

Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.

Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

Dengan itu marilah sama-sama bersama Kerajaan Pakatan Rakyat membina negeri Sarawak yang kaya sumber alam pemberian Tuhan ini untuk kesejahteraan bersama. Sama-samalah kita menjauhkan negeri Sarawak ini dari mereka-mereka yang mementingkan diri dan sangat tamak haloba mengumpulkan kekayaan sehingga berbillion – billion ringgit nilainya dan membiarkan rakyat terus papa kedana supaya terus merayu, merintih dan dan menagih simpati sang kaya raya yang tamak haloba.

Marilah kita sama-sama berganding bahu melakukanya. Dengan pertolongan dan rancangan Tuhan menyertai kita yang benar dan jujur dalam perjuangan membela rakyat, maka perubahan dan reformasi akan DAPAT DICAPAI. Amen.

Abun Sui Anyit.
Untuk Kebenaran dan KeADILan.

No comments:

Post a Comment